KALAU SAYA AHLI POLITIK, SAYA HANYA
AKAN BERI LAYANAN BIBIR TERHADAP ISU WARGA EMAS
Oleh Fong Muntoh
Kalau saya seorang ahli politik, saya tak akan buang masa juangkan isu
warga emas. Terus terang—tak ada nilai politik di situ. Populasi
tua? Menarik untuk statistik. Tapi dari segi undi, bajet, atau publisiti? Tak
mendatangkan pulangan. Jadi kalau saya ada kuasa dan pentas, saya akan cakap
benda yang manis didengar, rasmi satu majlis, bergambar dengan beberapa
nenek—dan kemudian beralih ke isu yang lebih "trending". Macam AI.
Atau kereta elektrik.
Sebab apa saya nak fokus pada kumpulan yang, secara
kasarnya, mungkin tak sempat pun tengok saya menang pilihan raya akan datang?
Mari saya jelaskan kenapa.
1. Warga Emas Tak Penentu Undi
Secara strategik, warga emas bukanlah kuasa undi yang perlu ditakuti.
Mereka tak trending di TikTok. Tak buat kecoh di media sosial. Tak turun
beramai-ramai masa ceramah politik. Ramai pun perlukan bantuan anak-anak untuk
ke pusat mengundi.
Anak muda pula? Lantang. Bersemangat. Sesuai untuk video kempen. Mereka boleh jerit “ubah!” dengan penuh tenaga. Warga emas? Mereka diam. Bersabar. Hantar surat rasmi, bukan komen viral. Jadi, selamat kalau kita abaikan mereka. Takkan ada rusuhan.
2. Kos Tinggi, Pulangan Rendah
Dari sudut bajet, warga emas memang "rugi". Kos rawatan
kesihatan, bantuan sosial, pencen, pusat jagaan—semua mahal, semua tidak beri
pulangan politik yang cepat.
Tak macam lebuh raya baru, hospital pakar atau jambatan gantung. Tak boleh letak muka saya atas papan tanda pusat jagaan dan harap orang bersorak. Kalau saya nak kekal popular, lebih baik saya bina pusat e-sukan berbanding rumah rehat warga emas.
3. Jangka Panjang, Tapi Masa Saya
Pendek
Andaikan saya benar-benar mahu bantu warga emas. Hasilnya lambat. Kita
perlu ubah polisi, bina semula infrastruktur, latih penjaga, reka bandar mesra
usia. Semua ini ambil masa—bukan satu penggal, tapi dua
atau tiga.
Kerjaya politik pula? Silap langkah, satu sidang
media pun boleh tumbangkan saya. Kenapa saya perlu rancang 20 tahun ke depan
kalau saya tak pasti hidup politik saya lepas dua tahun?
Lebih baik saya umumkan Hari Warga Emas Kebangsaan. Bagi beg kanvas percuma. Tangkap gambar. Siap.
4. Penuaan Tak Glamour
Jujurnya, penuaan tak ‘fotogenik’. Tak boleh dijadikan bahan iklan
kempen.
Tiada siapa mahu tengok gambar lampin dewasa, jagaan
demensia, atau luka baring. Tak ada upacara gunting riben untuk “mengurangkan
kesunyian warga emas.”
Tak boleh buat penuaan nampak ‘cool’. Tak ada warna tema sedondon yang menarik tajaan korporat. Bukan merah jambu macam kempen kanser payudara, atau pelangi seperti Pride. Ia kelabu, senyap, perlahan—dan tak komersial.
5. Warga Emas Adalah Masalah Keluarga
Dari sudut politik, penuaan bukan tanggungjawab kerajaan—ia tanggungjawab
anak-anak. Naratifnya senang dijual: “Anak yang baik jaga ibu bapa.” Kedengaran
mulia. Jimat bajet kerajaan.
Kenapa nak bina pusat jagaan kerajaan kalau kita boleh gunakan rasa
bersalah anak-anak?
Kalau saya ahli politik, saya akan angguk perlahan dan cakap, “Kita mesti kekalkan nilai kekeluargaan Asia.” Dan biarkan penjaga terbeban tanpa bantuan. Jimat belanja. Dapat pujian pula.
6. Kita Dah Biasa Dengan Pengabaian
Kita sudah latih masyarakat untuk anggap kekurangan sebagai perkara
biasa.
Klinik kesihatan buka seawal 5 pagi dan warga emas sanggup tunggu. Rampa
rosak, papan tanda kecil, jalan kaki yang bahaya—semua ini sudah jadi norma.
Pusat jagaan dipanggil “rumah orang tua” dengan nada seperti hukuman. Selagi tiada yang bersuara, sistem terus berjalan. Tak ada desakan, tak ada tindakan. Kalau saya ahli politik, saya senang saja tumpang arus ini.
Tapi Nasib Baik Saya Bukan Ahli
Politik
Kerana di sebalik semua sebab ini, tersembunyi satu kegagalan besar—gagal
melihat nilai sebenar warga emas.
Realitinya, melabur dalam penjagaan warga emas adalah pelaburan
sosial. Warga emas yang sihat kurangkan tekanan pada sistem kesihatan. Penuaan
aktif bantu kesihatan mental, kurangkan beban penjaga, dan bina masyarakat
antara generasi yang kaya nilai.
Dan suka atau tidak, kita semua sedang menua. Isu ini bukan
tentang "mereka". Ini tentang "kita".
Saya tidak mahu jadi ahli politik yang hanya muncul
di pusat jagaan waktu pilihan raya. Saya mahu jadi pemimpin yang perjuangkan
polisi bantuan penjaga, bandar mesra usia, rehat penjaga, dan sokongan sebenar.
Kerana kepimpinan sebenar bukan diukur melalui undi. Ia diukur melalui maruah.
Tentang Penulis
Fong Muntoh ialah veteran dalam industri penjagaan warga emas dengan pengalaman
lebih 25 tahun. Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang menerima
pengiktirafan sebagai Pakar Operasi Penjagaan Warga Emas daripada Kementerian
Sumber Manusia. Kini menerajui Komune Care Centre, beliau aktif memperjuangkan
dasar dan persekitaran yang bermaruah dan adil buat warga emas Malaysia.
No comments:
Post a Comment